Luahan Jiwa, Puisi

Nirmala Musim Bunga

Flowres-Droplets-HD-Desktop-Backgrounds

Saat garis merah jingga

terukir di bibir langit

jiwaku bergetaran

mendengar gemersik alunan

dari jiwamu.

 

lalu kuhirup titis nirmala

pagi musim bunga

yang dinginnya membeku

kolam di jiwa.

 

 

Sakinah Kamal

The Credit Woodlands, Mississauga

 

 

 

Advertisements
Cerpen

Sekuntum Dahlia di bumi Ottawa

Oleh: Sakinah Kamal

Dahlia_coccinea,_the_Red_Dahlia_(9450014546)

Sepotong croissant butter lembut, rangup. Secawan kappucino hangat tebal berbusa. Berambal-ambal wap-wap comel di atmosfera. Kombinasi sama hebat sama padan ibarat pinang dibelah dua untuk menghabiskan sisa-sisa malam yang dingin dan asyik. Senyum mesra sang rembulan, juga kerlipan kunang-kunang neon menyinari rona hitam membiru permaidani langit, menenggelamkan cahaya puteri-puteri kejora yang kian sirna serinya.

Matanya redup mengitari suasana sekitar Byward Market Square malam itu. Nampaknya musim luruh hampir tiba ke penghujung. Hawa sejuk mula menghembuskan pawana dingin. Sayup-sayup semilir mengelus hujung selendang sutera merah jenama Dior miliknya. Tidak sabar rasa menunggu ketibaan musim sejuk. Gelak tawa melemparkan putih bersih bebola ais. Riang ria meluncur cerun yang diselimuti salji tebal. Menggamit nostalgia indah di layar ingatannya.

Sekuntum bibir indah itu mengelopakkan senyum. Lalu, mencicip secawan kappucino hangat, berbusa tebal ukiran kelopak mawar kesukaannya. Fikiran ligat memikirkan pelbagai hal seputar kehidupan. Hidup, sebagai perantau di negeri orang, walau bernaungkan langit mana pun, tetap, penuh rona- kanvas kehidupan yang berseri dengan warna-warni pengalaman dan corat-coret lukisan ketabahan.

Namun, ia hanyalah pada permulaan. Mendepani musim sejuk, di negara yang terletak di bahagian paling utara benua Amerika, negara kedua terbesar selepas Rusia ini, umpama mimpi ngeri buat penduduknya. Jalan raya diselaputi salji tebal. Bekalan air membeku, lantaran suhu mencecah -20°C. Menyukarkan lagi kegiatan harian masyarakat setempat.

Moulin de Provence mula dipenuhi pengunjung. Kafe yang pernah dilawati Barack Obama, presiden Amerika Syarikat lewat tahun 2009 itu memang tidak pernah sunyi daripada pelanggan. Sengaja dia memilih meja yang paling hujung, di ruangan luar kafe. Senang baginya untuk menikmati pemandangan indah Bandar Ottawa pada musim luruh. Secantik Maple Road, jalan raya bersejarah di Kanada. Daun-daun kering keemasan gugur sekonyong-konyong dari pohonan mapel nan rendang di sekitar jalan-jalan raya yang sesak dengan jutaan umat. Seolah-olah menangisi kealpaan manusia menjamah kelazatan dunia yang sementara.

“Lia.” Dia menoleh ke arah empunya suara. Suara yang amat dikasihinya. Suara yang selalu mengukir pelangi di langit hatinya.

Lelaki itu mencoret senyum. Terlakar sepasang garis-garis halus di hujung kelopak mata, menambah lagi ketampanan wajah pemilik anak mata rona hazel keemasan itu.

“Apa yang awak termenungkan itu, Lia? Pandanglah saya, di hadapan awak ini.” ucap Andy, pelajar jurusan Seni bina di Carleton University, tempatnya menuntut ilmu di bumi daun Mapel ini.

Lia hanya mampu tersenyum. Hambar. Bebola mata bundarnya merenung pada ketulan croissant choco-almond milik Andy, kemudian naik tepat menembusi anak mata lelaki itu. Sayu. Tiba-tiba, dia mengubah hala ekspresi wajah, seraya mengusik. “Saya dah jemulah tengok muka awak, Andy. Saya nak lihat daun-daun mapel itu gugur. Lagi-lagi bila disuluh lampu jalan. Cantikkan? Cubalah awak tengok.” Kata Lia sambil membuat gaya seperti anak kecil lagaknya.

“Ya, memang cantik pun pemandangan di sekitar Ottawa ini. Tetapi, cantik lagi sekuntum bunga Dahlia di hadapan saya ini.” seloroh Andy ikhlas. Sejurus menimbulkan riak terpegun di wajah Dahlia. Putik-putik rona kemerahan mula mengembang mekar di pipi putihnya yang licin bak telur dikupas itu.

Tangan Andy bingkas mengangkat secawan Mochachino, kopi campuran espresso, steamed milk dan chocolate syrup, lalu menghirupnya perlahan sambil ekor mata tidak lepas melirik pada wajah bujur sirih milik Dahlia. Memang lelaki itu gemarkan coklat. Lihat sahaja kesemua juadah pilihannya. Pasti berunsurkan coklat.

Hinggar binggar bandaraya Ottawa, ibu negara Kanada ini masih lagi tidak surut meskipun malam semakin larut. Barangkali diksi sunyi tidak pernah maujud dalam kamus minda masyarakat bandar yang terletak di Ontario Selatan itu.

Bibir munggil Dahlia mencoret seulas senyuman tenang. Menimbulkan urat-urat keliru di dahi Andy. Meningkatkan peratusan adrenalin dalam darah. Menambah kadar kelajuan rentak nadinya.

“Andy, kalau benar awak ini pencinta alam dan tumbuh-tumbuhan. Cuba teka, kenapa saya diberi nama Dahlia dan dari mana asal-usulnya nama Dahlia?” Tanya Lia sambil menongkatkan dagunya yang runcing bak ekor lebah itu.

“Mungkin sebab ibu awak sukakan bunga Dahlia? Jikalau benar, nama awak dipetik sempena nama bunga Dahlia Pinnata sp. Sekuntum bunga kebangsaan negara Mexico. Nama Dahlia itu pula, berasal daripada nama seorang ahli botani Sweden, Anders Dahl.”

“Oh, saya ingat awak tidak tahu.” Kata Dahlia dalam nada mengejek. “Kalau begitu, bunga Dahlia ada lebih kurang 30 spesies. Spesies yang mana menjadi pilihan hati saya?” Sengaja dia menguji pengetahuan dan kepekaan Andy.

“Saya rasa, awak suka kan Dahlia Coccinea, sebab…”

“Hah, betul. Sebab apa?”

“Sebab, awak sukakan warna merah. Meskipun kemajuan arus teknologi terkini mampu menghasilkan berbagai-bagai jenis warna Dahlia Coccinea. Namun, Dahlia species ini lebih sinonim dan cantik dengan warna merahnya. Sehingga ia juga digelar sebagai Red Dahlia. Malah, ia antara Dahlia yang banyak terdapat di tanah tinggi Cameron, Malaysia, berbanding dengan jenis Dahlia yang lain.” Panjang lebar penerangan Andy kepadanya. Hampir terlopong mulut Dahlia dibuatnya.

Andy memang meminati alam flora. Menetap di Malaysia selama hampir 6 tahun semenjak usianya mencecah 12 tahun menjadikan dirinya begitu fasih berbahasa Melayu. Malah amat menggemari dan berbakat memasak pelbagai jenis masakan Melayu, kalah Lia dibuatnya. Malaysia merupakan syurga makanan katanya. Mr. Thompson dan Mrs. Thompson, bapa dan ibu Andy, merupakan saintis yang menjalankan kajian tentang flora dan fauna hutan hujan di Universiti Putra Malaysia. Kerjaya kedua ibu bapanya sedikit sebanyak  menjadikan Andy, seorang yang celik tentang dunia tumbuh-tumbuhan serta peka dan cinta akan alam sekitar.

“Hebat juga pengetahuan awak tentang spesies bunga ini ya, Andy.” Puji Dahlia, ikhlas. “Warna merah lebih sinonim sebagai simbol keberanian. Ibu beri nama Dahlia ini berserta harapan agar saya mampu menjadi secantik dan seberani warna Dahlia.” Terangnya lagi, jelas. “Oh, ya, bagaimana awak tahu saya sukakan warna merah?” senyum Dahlia menguntum.

“Pengetahuan dan cinta saya terhadap flora sama saja dalamnya dengan pengetahuan dan cinta saya terhadap orang yang saya sayang. Cuma, senyuman awak itu, Lia. Jangan manis sangat. Kalah kemanisan coklat Belgian kegemaran saya. Cair hati saya dibuatnya.” Seloroh Andy lagi. Serentak dengan itu, ledakan tawa mereka tercetus menambah kehinggaran malam di kota Ottawa yang tidak susut dek kegelapan zulmat malam.

“Seandainya kau tahu, Andy…” bisik Dahlia sendiri sebelum menyisip sisa kappucino terakhirnya.

*****

ottawa-2017

Kuliah bertajuk The Microbiological Collapse of Evolution di Life Science Research Building pagi itu sungguh menarik minatnya selaku seorang pelajar jurusan Cellular, Molecular and Microbial Biology di Carleton University. Lia memang meminati bidang Sains sejak di bangku sekolah rendah lagi. Dia sering sahaja memenangi kejohanan kuiz-kuiz berkisarkan dunia sains di peringkat negeri dan daerah dahulu. Malah, pernah merangkul tempat pertama dalam pertandingan Saintis Muda peringkat Negeri Kedah ketika di sekolah menengah.

Professor Gorana Botic begitu bersemangat menerangkan tentang penipuan teori evolusi. Sesekali Dahlia menjeling pada Violet, rakan sekelasnya yang tekun mendengar butir bicara professor yang terkenal dengan obsesinya terhadap pendapat Aaron John atau nama sebenarnya Adnan Oktar, seorang penulis kelahiran Ankara, Turki dan aktivis yang menolak falsafah Darwinisme seperti teori evolusi dan “big bang” yang diperkenalkan oleh Charles Darwin. Meskipun beragama kristian, Professor Gorana mempercayai beberapa teori dan pendapat yang dikemukakan oleh sarjana Islam itu berdasarkan hujah-hujah yang tertentu.

Sepanjang kuliah tentang mikrobiologi tersebut berjalan. Sesi soal jawab turut diadakan. Begitu ramai pelajar berebut-rebut hendak mengangkat tangan untuk mengajukan pelbagai jenis soalan, tidak kurang juga yang ingin memberikan pendapat. Sebagai negara yang memiliki tahap pendidikan tinggi sehingga mencapai piawaian antarabangsa, Kanada mensasarkan objektif menyampaikan dan melengkapkan pelajarnya dengan pemikiran kritikal dan logikal.  Sehinggakan, pelajar peringkat rendah juga berupaya memberi komen tentang politik dan isu sosial dengan bernas. Lebih menarik lagi, pendidikan untuk sekolah awam disediakan secara percuma buat semua rakyatnya malah, ada juga province atau wilayah lain yang membekalkan buku teks, baju sukan dan alat tulis juga secara percuma. Ini sekaligus telah menyumbang 99 peratus kadar celik huruf di negara ini. Uniknya, tiada peperiksaan standard diadakan, tetapi para pelajar tetap perlu tekun belajar dan lulus dalam setiap ujian yang diberikan.

Seusai tamatnya kuliah yang disampaikan oleh Professor Gorana. Dahlia berbual-bual sebentar dengan rakan semejanya, Violet yang berasal dari Quebec, salah satu province di Kanada. Gadis kacukan Perancis itu fasih berbahasa Inggeris dan juga Perancis, memandangkan Kanada mempunyai dua bahasa rasmi iaitu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Perancis. Oleh itu, tidak hairanlah mengapa rata-rata kedai dan pusat perkhidmatannya menggunakan dwi bahasa. Malah, jika hendak melanjutkan pelajaran dan bekerja di sini juga, sudah cukup jika hanya fasih berbahasa Perancis sekiranya tidak tahu berbahasa Inggeris.

Walaupun lahir di Quebec, Violet amat meminati negara Malaysia dan memasang impian untuk berkunjung ke sana suatu hari nanti. Teringin benar hendak menaiki menara berkembar petronas (KLCC) katanya.

“Lia, saya dengar awak tinggal di Langkawi, benarkah? Wah, saya teringin benar hendak melihat sendiri kejernihan air di sekitar Pulau Dayang Bunting. Saya ada menonton klip video abang saya semasa dia menyertai kejohanan lumba basikal Le Tour de Langkawi dua tahun lepas. Teruja sungguh saya dibuatnya. Menonton video sahaja sudah menarik apatah lagi melihat dengan mata sendiri. Kan, Lia?” bersemangat Violet menuturkan impian yang dipasangnya itu.

“Apa kurangnya dengan air terjun Niagara selaku air terjun tertinggi di dunia, Violet? Rindu benar rasanya hendak menaiki kapal Maid of the Mist dan memakai baju hujan merentasi air terjun untuk melihat Rainbow Bridge yang menghubungkan Kanada dan Amerika Syarikat itu.” Ujar Dahlia mengimbau kembali memori dia di air terjun yang berkeluasan  678 meter dan tinggi mencecah 56 meter itu.

“Baiklah, Violet. Kebetulan pula, saya ada janji temu bersama Andy dan Jamilaa petang ini di perpustakaan. Jumpa lagi esok. Selamat tinggal.”

“Selamat tinggal, Dahlia.” Mereka bertukar senyuman. Dahlia bergegas mencapai basikal miliknya lalu, meluncur laju menuju ke MacOdrum Library, perpustakaan universitinya

Tiba-tiba, dia terasa pedih dan berdenyut di bahagian dada.

“Ah! Dia datang lagi” jerit Dahlia separuh berbisik.

“Uhuk, uhuk!”

Buntang biji matanya melihat cairan berwarna merah likat tersepai di atas jalan raya.

“Ya Allah, berikan aku secebis kekuatan untuk terus menuntut ilmu di atas muka bumimu ini, ya Rabb.” Doanya sambil menahan kesakitan yang semakin beransur hilang.

*****

Andy dan Jamilaa sedang ralit membaca buku masing-masing di meja paling hujung dalam MacOdrum Library. Sekiranya tiada aral yang melintang, mereka bertiga pasti akan berjanji temu pada setiap petang Rabu di perpustakaan universiti untuk membaca puisi bersama-sama.

Jamilaa merupakan sahabat baik merangkap teman serumahnya di sini. Gadis kelahiran United Arab Emirates, Dubai, sebuah negara arab kedua terkaya di dunia selepas Qatar itu juga seperti Andy, amat fasih berbahasa Melayu setelah menghabiskan kira-kira 5 tahun di Malaysia kerana mengikuti bapanya yang bekerja di bahagian kedutaan.

Andy dan Jamilaa sudah berkenalan ketika menuntut di Kuala Lumpur International School sebelum pulang kembali ke negara masing-masing setelah menamatkan pengajian International Baccalaureate (IB) Program di sana. Dahlia pula sejujurnya, senang bersahabat dengan mereka. Mereka bertiga berkenalan ketika sama-sama menghadiri sebuah bengkel penulisan musim panas anjuran Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) semasa berada di tahun pertama universiti.

Selepas tamatnya bengkel tersebut, mereka bertiga menjadi lebih rapat terutama sekali Andy, yang tidak pernah berputus asa mendekati dirinya. Tambahan pula, Jamilaa merupakan rakan sebiliknya di sini. Ini menjadikan mereka bertiga seringkali kelihatan melakukan pelbagai aktiviti dan menghabiskan masa bersama. Malah, semenjak menghadiri bengkel tersebut, minat Dahlia terhadap dunia sastera dan penulisan kreatif mula memutik. Lebih mengejutkan, Andy dan Jamilaa turut memiliki kebolehan dan pengetahuan yang luas tentang dunia sastera dan mencintai buku, sama seperti dirinya.

Andy melambai-lambaikan tangan apabila melihat Dahlia yang masih tercegat di muka pintu perpustakaan. Dahlia yang kelihatan tidak ubah seperti patung lilin dek fikirannya jauh menerawang di layar kenangan, akhirnya tersedar daripada lamunan yang panjang. Dia segera bergegas mendekati dua orang sahabat baiknya.

Suasana di perpustakaan universiti sungguh senyap walaupun terdapat ramai pelajar ketika itu. Seolah-olah mereka begitu menghormati perpustakaan, selaku gedung ilmu dan belantara pengetahuan yang mengandungi ribuan khazanah yang berharga.

“Hai cik adik manis, bunga Dahlia kembang semangkuk, lewat hadir hari ini?” usik Andy dengan lelucon hambarnya itu. Jamilaa terus menerpa dan memeluk erat tubuh genit Dahlia seolah-olah sudah lama tidak berjumpa. Dahlia membalas pelukan Jamilaa dan hanya mampu tersenyum mendengar usikan nakal Andy. Dia sudah lali dengan sikapnya yang seperti kacang hantu itu.

“Kuliah Professor Gorana tamat lewat. Sebab itu, saya lambat sedikit hari ini. Tambahan pula, saya bersembang dengan Violet tadi, dia sampaikan salam pada awak berdua.” Kata Dahlia menjawab pertanyaan Andy. “Oh ya, saya ada bawa senaskhah buku himpunan puisi yang berjudul Salasilah, nukilan penyair wanita Malaysia, Zurinah Hassan. Kamu berdua bercadang hendak membaca koleksi penyair mana kali ini?” soal Dahlia sedikit teruja.

“Saya, sudah pasti membawa buku koleksi puisi penyair kesukaan saya, Usman Awang, Sasterawan Negara Malaysia yang ketiga.” Ucap Andy penuh bersemangat.

“ Saya teringin  membaca sajak-sajak nukilan penyanyi Malaysia, Fynn Jamal dalam buku puisinya, Puisi Tepi Jalan terbitan Rabak-Lit. Nampak menarik! Sekali sekala kita menelaah karya-karya terbitan buku-buku indie dan alternatif ini bagus juga.” Ujar Jamilaa, si pemilik wajah putih kemerah-merahan dan hidung mancung bak seludang lantaran mewarisi darah bangsa dari tanah arab itu.

Sungguh menakjubkan! Mereka berdua amat menghargai sastera Melayu, walaupun berbeza bangsa, bahasa, agama dan negara.

“Saya kagum dengan awak berdua. Mencintai sastera, bahasa dan budaya negara saya meskipun kalian lahir dalam komuniti yang berbeza. Saya berasa malu dengan diri saya sendiri.” Dahlia menuturkan kehampaan pada dirinya sendiri.

“Kalau kita berbicara soal sastera, kenapa kita perlu menyentuh soal sempadan negara dan bangsa? Bukankah sastera itu hidup untuk semua manusia demi menyampaikan kebenaran? Seperti kata-kata seorang pemenang Anugerah Nobel Kesusasteraan tahun 2000, Gao Xingjian yang berbunyi; hanyasanya dalam sastera, kebenaran dalam kehidupan diketemukan. Di bawah topeng fiksyen, kita memperkatakan tentang kebenaran itu…” kata Andy, sambil jemarinya laju mengelus rambut ikal rona brunette warisan ibunya itu.

“Ya, Lia. Melalui sasteralah kita mampu merentas sempadan benua, budaya dan negara. Seorang pembaca itu adalah seorang pengembara. Lebih banyak, berkualiti serta bervariasi bahan bacaannya, lebih jauh dan menarik serta mencabarlah pengembaraannya.” Kata Jamilaa yang sedang cuba menepis bebola kertas yang dibaling Andy kerana memotong bicaranya sebentar tadi.

Jauh di lubuk hati, Lia mengakui kebenaran rantaian aksara yang terluah dari bibir mereka. Sesungguhnya, dia terharu dan bersyukur kerana dikurniakan sahabat seperti mereka berdua. Terutama sekali Andy. Jejaka itu sudah banyak berkorban buat dirinya. Jejaka itu bersungguh menceriakan hari-harinya. Pelbagai usaha telah dia lakukan demi menawan puncak banjaran ego di hatinya semenjak awal perkenalan mereka. Sungguh, Dahlia menyenangi kehadirannya dalam hidup ini. Namun, bagai ada suatu kuasa yang cuba menghalang hubungan mereka. Sesuatu yang tidak diketahui sesiapa melainkan diri Dahlia sendiri.

Masih segar di kotak ingatan Dahlia tentang peristiwa mereka bersama-sama mengunjungi Festival Bunga Tulip di Major’s Hill Park pada bulan Mei tahun lalu. Kala itu, Jamilaa tidak dapat turut serta berikutan ada hal penting yang hendak diuruskan. Hakikatnya Dahlia tahu, itu semua hanyalah rancangan Andy agar mereka dapat keluar berdua. Namun, dia turutkan sahaja menjayakan rancangan tersebut. Mahu lihat sendiri apa yang cuba direncanakan lelaki itu.

Sedang asyik menonton persembahan oleh Sister Speak, kumpulan penyanyi pop akustik dari Vancouver. Tiba-tiba namanya dipanggil oleh ketua kumpulan tersebut, Sherri Anne, untuk menaiki pentas utama. Terkejut bukan kepalang Dahlia dibuatnya. Apatah lagi bila menyedari Andy sudah tiada di sisi. Saat menjejakkan kaki di atas pentas tersebut, dia terpegun melihat ribuan mata sedang menatapnya penuh cengang. Tanpa disedari, Andy muncul di bahagian kiri pentas sambil menyanyi dan memetik gitar. Lalu, melutut di hadapannya sambil menghulurkan sejambak bunga Tulip bersama-sama sekeping kad berbau harum tertulis seuntai sajak indah karangan Lord Holland buatnya;

“ The dahlia you brought to our isle

Your praises for ever shall speak:

Mid gardens as sweet as your smile,

And in colour as bright as your cheek.”

(Lord Holland, 1824)

Seluruh hadirin bergempita menghadiahkan tepukan gemuruh buat kami berdua. Dahlia hanya mampu menggulum senyum sambil menahan malu. Sebelum pulang, Andi membelikannya sebuah basikal yang digunakan sehingga ke hari ini, untuk hadir ke sesi baca puisi ini.

Semenjak peristiwa tersebut, mereka berdua seolah-olah seperti pasangan merpati dua sejoli. Namun, Dahlia tidak pernah menuturkan secara jelas berkenaan rasa hatinya pada jejaka tampan itu. Andy seolah-olah memahami pendiriannya dan tidak pernah memaksa, malah masih berusaha menawan mahligai hatinya. Ya, sememangnya dia akui, Andy seorang lelaki budiman.

Iris matanya yang hitam bersinar itu bertaut pada anak mata hazel milik Andy di hadapannya kala itu. “Andy, seandainya kau mengerti..” gumamnya sendiri.

*****

Pagi itu, dada langit cerah. Awan kumulus berarak perlahan ditiup semilir timur. Kepulan-kepulan putih comel serupa kubis bunga indah menghiasi layar langit yang membiru. Matahari bersinar garang. Bukan selalu cuaca sebegini baik. Hidup di negara yang punya cuaca tidak menentu menuntut Dahlia untuk sentiasa menyemak weather forecast menerusi aplikasi di telefon pintar. Jikalau tidak, alamatnya, terpaksalah dia pulang kebasahan atau kesejukan. Lebih buruk lagi, segala aktiviti yang direncanakan gagal berikutan cuaca yang sukar diramal.

“Menarik sungguh penerangan pegawai muzium itu tentang sejarah legasi empayar Rom tadi kan, Lia? Tak sangka akhirnya berpeluang juga kita ke Canadian War Museum ini.”

“Ya, bertuah betul rasanya dapat menyertai Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD). Dapatlah juga saya berkunjung ke Pameran Gladiators and the Colosseum-Death and Glory tadi.” Kata Lia yang baru genap setahun menyertai sebuah Grup hasil usaha anak muda Malaysia yang bervisi untuk melahirkan pengembara muda yang lasak serta kaya dengan ilmu dan pengalaman itu.

“Lia, alang-alang cuaca hari ini begitu baik, saya bercadang hendak mengajak awak membeli-belah di Sparks Street Mall. Saya dengar di sana ada aktiviti…”

“Aduh!” tiba-tiba Dahlia mengerang kesakitan. Bisa itu kembali menyinggah ke tubuhnya. Tapi kali ini kesakitan itu luar biasa tahapnya.

“Eh, awak okay kah ini, Lia?”

“Entahlah, Violet. Dada saya…”

Pandangan Dahlia kelam. Sekelam malam yang hitam pekat tanpa simbahan lampu jalanan di lorong-lorong sunyi di daerah hatinya.

*****

“Asyhadualla ilaha illallah, wa asyhadu anna muhammadarrasulullah.”

Cermat dia menuturkan kalimat agung itu.

“Tahniah, awak sekarang adalah sebahagian daripada kami. Ahlan Wasahlan Amir.” Ucap pegawai muda tersebut.

“Terima kasih Mr. Omar.” Gembira bukan kepalang Andy apabila niat sucinya untuk memeluk agama Islam akhirnya tertunai berkat bantuan salah seorang kenalan Dahlia, Mr. Omar Hachemi, pegawai di Islam Care Centre (ICC), salah satu persatuan NGO di Ottawa.

“Aku mesti bertemu Dahlia untuk mengkhabarkan berita baik ini.” Andy yang kini bergelar Amir bertekad pada dirinya sendiri.

Enjin kereta Audi A6 berwarna hitam metalik itu dihidupkan. Kereta pemberian ayahnya setahun yang lalu itulah sering dipandu Amir selama ini. Berjasa sungguh kereta keluaran itu buatnya. Juga buat rakan-rakannya.

Amir memandu dengan berhati-hati. Kereta mewah itu membelah laju jalan Lisgar St. menuju ke Renfrew House, kawasan yang menempatkan apartment yang didiami Dahlia dan Jamilaa.

Sampai sahaja di hadapan muka pintu apartment tersebut. Suara esak tangis seseorang menerkam gendang telinganya. Suara wanita. Wanita yang cukup dia kenali.

“Jamilaa, Jamilaa, ini saya, Andy. Bukalah pintu. Kenapa awak menangis?” laung Amir sambil memulas tombol pintu bersadur warna emas itu.

Pintu terkuak. Wajah anak Pak Arab itu tersembul di muka pintu. Menerusi sedu yang terpacul dari bibirnya. Juga genangan kesedihan yang bersarang di kelopak matanya. Amir dapat menangkap ada berita duka yang terjadi. Berita yang jiwanya sendiri tidak tertanggung untuk mengempang berabad lamanya.

“Dahlia… Dia sudah pergi.”

Bagai hendak gugur jantung Amir mendengar bait-bait kalimat tersebut.

“Violet khabarkan pada saya lewat tengah hari tadi. Katanya, ini keputusan Lia sendiri. Dia yang menemaninya membeli tiket untuk segera pulang ke Malaysia. Katanya, masanya sudah tidak lama. Dan dia, perlu segera…”

Jamilaa menghulurkan seutus warkah berwarna biru laut kepada Amir. “Ini surat buat awak, dia juga ada kirimkan satu buat saya. Bacalah, saya sudah tidak sanggup meneruskan bait-baitnya yang terakhir.” Ujarnya bersama tangis hujan pedih membasahi cerun pipi putihnya yang kemerahan.

Amir kaget. Tangannya terketar-ketar menyambut warkah tersebut. Lipatannya dibuka penuh cermat. Diamati satu persatu aksara yang terukir di dada kertas.

Kehadapan Andy,

Saya tahu, saat awak membaca warkah ini, mungkin saya sudah tiada di bumi Kanada ini. Atau barangkali di atas dunia ini.

Maafkan saya, Andy. Jikalau saya bertindak seolah-olah mementingkan diri sendiri. Tapi ketahuilah, hidup saya sudah tidak lama. Sakit Tuberkulosis atau radang paru-paru yang selama ini saya simpan daripada pengetahuan awak dan Jamilaa sudah tidak mampu ditanggung lagi. Mujur Violet ada di sisi untuk menghantar saya ke Hospital Ottawa semasa saya tidak sedarkan diri pagi tadi. Kalau tidak, saya tidak tahu apa nasib saya sekarang ini.

Andy,

Doktor mengesahkan bahawa saya tidak akan hidup lama. Dan dia memberi pilihan sama ada untuk terus tinggal di sini, atau kembali ke tanah air di samping keluarga. Dan saya, memilih pilihan yang kedua. Peluang dijangka tinggal 3 hari saja lagi untuk saya bernafas dengan oksigen bekalan Tuhan ini.

Terima kasih atas persahabatan ini. Saya begitu menghargainya.

Ketahuilah duhai Andy, bahawa saya, Dahlia Amira binti Affendy sangat mengasihi dan menyayangi awak sepenuh hati. Maafkan saya sekali lagi. Maafkan saya. Saya terpaksa pergi dahulu.

 

Yang mencintaimu,

Dahlia Amira

Bungkam. Tubuhnya menggeletar. Sarat mendung di kelopak matanya sudah tidak dapat ditampung lagi. Fikirannya berkecamuk. Tersadai di belantara keruwetan. Dia terduduk, menangis. Pedih. Bagai jutaan belati menghiris-hiris kulitnya.

Serentak dengan itu, emping-emping salji luruh dari perut langit. Seolah-olah menangisi gugurnya sekuntum Dahlia dari bumi Ottawa ini. Tanda musim sejuk sudah bermula. Memutihkan tanah dengan gumpalan debu-debu suci. Menutup hamparan bebunga di taman hatinya. Mendinginkan atmosfera sukmanya.

TAMAT

view-of-the-parliament (1)

Luahan Jiwa

Gelandangan di Daerah Kontang

tumblr_okh91iwEiB1w08slso1_400

Bukan.

Aku bukan mahu melakon watak seekor ulat buku. Aku hanya impi menjadi seorang aktor pencerna segala hidangan berinti kata-kata dan berperisa bahasa di pentas duniaku.

Yang di waktu tertentunya menjilati isi buku daripada kulitnya yang manis hingga ke kerak rangupnya yang terakhir..

Tika paginya bersarapan dua keping akhbar disaluti jem kaya informasi semasa. Ditemani secangkir kopi beraroma menghangati minda. Menjentik deria motivasi menjadi inspirasi memulakan hari.

Di sepanjang waktu merasakan perutnya begitu penuh dikenyangkan fikiran sarat nutrien-nutrien ilmu berkhasiat. Bersumberkan daripada kitab-kitab berkualiti, segar dan halal buatan. Bukan dikutip daripada longgokan sisa tepian jalan yang busuk. Dihurungi lalat materialistik serta diulati larva-larva politik gemuk berlendir putih penuh loya.

Yang mana vitamin dan mineral yang disantap itu berasimilasi dalam usus. Memberi tenaga pada sel-sel tubuh bekerja. Agar sel-sel yang sihat itu berperanan menyambung dendrit-dendrit di sepanjang saraf tunjang. Terus ke cerebrum yang bukan hanya mampu menghafal kata-kata semata. Namun upaya berfikir merentasi relung masa.

Ya, kita adalah apa yang kita makan. Kita juga adalah apa yang kita baca.

Sihat fizikal. Sihat mental.

Namun, hakikatnya itu hanyalah sekadar angan-angan bangsa gelandangan seperti aku. Di sebuah daerah kontang yang konon dipanggil globalisasi.

Aku yang sering ditindas golongan kapitalis. Sehingga segala ringgit masaku ranap. Tak mampu membeli walau sesuap diksi. Kehausan minuman puitis. Kebuluran isu kritis. Menggigil menahan diri daripada dihembus hawa sejuk hedonisme. Melecur membela diri daripada dibakar rentung api mentari racism.

Kerana doktor-doktor bertauliah di duniaku asyik. Menyogok tentang khasiat setitis air sirap merah yang tumpah membentuk rangkaian angka atas sekeping kertas tawar tak berperisa. Itulah yang kami kejari. Sehingga erti sebutir nasi dan sepotong roti yang berlaukkan adat dan berintikan agama tak mampu kami cari-sedari-sendiri.

Ya, kita adalah apa yang kita makan. Kita juga adalah apa yang kita baca.

Sakit fizikal. Sakit mental.

Aku yang masih di takuk daerah ini.

Sakinah Kamal

English

Colours of Life

2d1491bc72adfd3bfbacfcefd7ad00fc

On a grey morning

I drink black tea

until green thoughts curl around me.

……………………………………….

In the yellow light

of the clear day

thoughts are brown leaves that blow away.

 …..

All my orange focus

turns to red dust

in the violet branches of dusk.

 …

Then in blue night

as white dreams fall

one indigo idea crawls.

Puisi

Bangsa Tikus

d6a830d13bb673cb7a63a489aaad3d53

Ya, kamulah bangsa tikus
tidak sedari hakikat itu?
Tikuskan pengecut
berlari balik dinding saat dimampir
ejen perosak
keponakan luar biasa
dari bangsa licik, jahat
pakar ilmu muslihat
peneraju umat dalam
bakul politik kotor.

..
Tak percaya? Buktinya ada
tikuskan pantas menyorok diri
pabila perangkap diberi
pandai melolos sendiri
sibuk cicip-menebuk
lubang ekonomi.

..

Dia sungguh bijak
cekap, tangkas berlari tak mampu dikesan
tika perang pertahan pertiwi
hujah membela manusiawi
terus-terusan sembunyi
belakang almari.

..

Sakinah Kamal
Februari 2015
Banting, Selangor

Luahan Jiwa

Hawa-Hujan-Buku-Malam dan Nikmat

tumblr_mhvobyzMRG1rrpsbmo1_500

Rintik-rintik hujan yang mengetuk-ngetuk daun jendela mencetuskan bunyian bernada indah. Memecah kesunyian malam pekat yang membosankan. Hawa sejuk menghembus udara nyaman menampar si pemilik wajah putih mulus sekaligus mengelus urai rambut ikal hitam miliknya.

Ah, nyamannya!” batinnya membisik. Senyuman manis seperti madu diukir oleh ulasan bibir munggil yang memerah bak delima masak itu.

Petir dan guruh berpencak di gelanggang langit berdentum bersama pekikan hujan. Bersatu menjadi melodi alam yang membawa irama syahdu bagi insan berjiwa batu. Membentuk sebuah hawa telinga yang membuai asyik-mengusik. Mendodoikan perasaannya kala itu.

Dan dia, masih lagi di situ. Di meja itu, ditemani kekasihnya, si buku yang setia. Tangan halusnya membelai kulit licin buku yang lembut bak sutera. Aroma minuman coklat panas bergentayangan di atmosfera bilik, membentuk wap-wap comel yang menghangati tubuh ketika suhu masih mencatatkan bacaan rendah.

Kelopak mata dia pejam erat-erat menikmati kenyamanan cuaca malam yang segar. Tempias hujan dari jendela kaca dia hayati tiap titisnya. Sejuk. Betapa rahmat Allah itu sangat luas. Mencurahkan rezeki dari gumpalan awan. Ya, ini nikmat. Nikmat kenyamanan, kebahagiaan, keamanan. Yang barangkali amat jarang seorang manusia sepertinya untuk bersyukur.

Dia manusia. Kadang-kadang dia menyukai hujan. Hawa yang ditiup. Dingin yang dikirim. Membawa hadiah yang melukis ceria pada kuntum senyumnya. Namun, kadang-kadang boleh jadi dia membencinya. Air yang membasah pakai kegemarannya. Juga pada gelap yang menyembunyikan suria harinya. Bisa mencorakkan warna suram pada kanvas wajah.

Ya, kerana dia manusia.

Lemah.

Tak berdaya.

Lelah.

Tak berupaya.

Pelupa.

Dari mengingati-Nya.

Namun, detik ini kecintaannya pada buku melebihi segala. Keghairahannya untuk terus mengucupi wajah-wajah surat kekasihnya yang putih bak epidermis telur itu seolah-olah menggamit rasa. Deria baunya kali ini tampak lebih menyukai aroma buku dari haruman Vanilla Lace jenama Victoria Secret miliknya. Meski haruman body mist itu mampu mencairkan sukma, namun saat itu, nafsu pada kekasihnya lebih merajai. Tambah dengan kejelitaan rekaan bentuknya yang menjentik tangkai hati. Ah! Dia terpesona. Kasmaran.

Ya, dia mencintai hawa sejuk ini. Ditemani se-mug coklat panas dan sebuah buku menjadi suri bercerita isi hati. Diiringi alunan muzik alam mendamaikan. Mereda jiwa yang sarat berontakan.

Syukur.

Maha suci Allah yang Maha Menjadikan.

Sakinah Kamal

Puisi

Warkah buatmu teman

CoffeeMountains7

Duhai teman,

 ..

Bait tintamu

seringkali mengundang

api cemburu di kalbu

 ..

Benar,

suatu hakikat kuakui tentangmu; kau puitis.

Cukup-cukup puitis.

Nukilanmu membuah jasa. Gayamu menambat rasa.

 ..

Sehingga kadang,

fikiranku jengkel mengenangkanmu.

Namun, aku tak mampu,

menolak rasa

membuak untuk terus

menghirup isi dari tintamu.

.. 

Turut aku mendaki,

mengejarmu di puncak.

Tapi aku tetap tewas,

pada kecuraman

gunung bahasamu.

.. 

Malah hatiku membengkak marah.

Mempersoal mengapa

kau mampu

berdiri teguh begitu,

walhal aku,

jatuh tersungkur di situ.

.. 

Oh teman,

 ..

Aku hanyalah sekuntum Bunga

yang terkulai layu

memandang engkau

Kumbang terindah

bebas, tinggi berterbangan.

Yang barangkali keindahan itu

menandingi kejelitaan jambangan mawar

menyerbak harum di taman larangan.

 ..

Pesanku padamu teman,

walau tinggi di angkasa raya dikau beradu.

walau ditemani kejora menari riang menghibur hatimu.

walau disinar cahaya rembulan menerangi gelapmu.

Jangan kau melupa kami di bumi.

 ..

Meski ku tak pernah harap

walau sekeping pelangi

darimu menghiasi langit hati.

Tapi ku mahu

kau terus membias

cahaya di langit bumi.

Agar umat manusiawi juga mampu

menikmati gemilang pancar warnamu

sebagai inspirasi.

.

Sakinah Kamal

Cerpen

12 Rabiul Awal: Hari Jadi dan Cinta

Oleh: Sakinah Kamal

candle-birthday

Selamat Hari Ulang Tahun, Along.

Lazimnya begitulah ucapan yang diujar Abah pada hening pagi 12 Rabiul Awal saban tahun. Kalimat keramat itu hanya akan terpacul daripada bibirnya pada tarikh tunggal ini. Kerana dia, jarang sekali mengingati tarikh kelahiran putera sulungnya ini dalam tahun Masihi. Apatah lagi mahu menitipkan seuntai ucapan?

Air mandian dari kolah di kamar mandi ku rasakan sejuk. Menyegarkan kelopak mata yang terlalu banyak melihat kemungkaran di usia remaja. Ya, ku akui itu. Lumrah seorang manusia. Tak pernah lekang daripada silap dan salah. Kerana lafaz insan itu berasal daripada kata akar bahasa arab, ‘nasiya’ yang bererti lupa. Menyatakan hakikat hidup manusia yang pelupa dan seringkali tersalah.

Sebab itu, Allah memberi ruang untuk bertaubat. Selagi nyawa masih dikandung jasad, selagi itu pintu taubat terbuka luas. Namun masih lagi kita lalai dan alpa. Dasar manusia itu pelupa.

Seusai membersihkan diri. Mataku tertancap pada skrin televisyen yang menayangkan figura seorang Ustaz, yang tidak asing menurut pandangan. Malah, dalam perjalanan ke ruang utama rumah, telingaku sudah menangkap butir bicaranya dan nada suaranya yang amat dikenali.

Berbusana ungu lavender lembut, raut wajahnya dilihat jernih. Kulitnya hitam manis, semanis madah yang dilontar. Suaranya lantang, jelas ke gegendang telinga. Susunan bicaranya menusuk, menggetar hati-hati pendengar diselang-selikan dengan lawak mencuit hati, namun membina.

Ust Farid Ravi,” hatiku berdetik.

Bibir lantas mengukir senyum. Abah ku lihat di suatu sudut, tekun mendengar. Ya, Abah amat meminati beliau. Mungkin kerana pembawaannya yang bersahaja. Pernah berkali-kali Abah menyebut namanya di rumah, berbicara tentang isi ceramahnya yang barangkali ada didengar di corong- corong radio dalam perjalanannya pulang dari tempat kerja. Sejujurnya, kerendahan hati Abah untuk terus menggali telaga ilmu amat ku kagumi.

Fikiranku melayang mengimbas kembali tika usia masih di sekolah rendah. Tarikh yang sama, namun tahun yang berbeza.

*****

Pagi itu, cuaca begitu baik. Redup dan dingin, namun tidak sampai menggigit tulang. Dalam pejam, ku menikmati kenyamanan udara pagi. Maklumlah baru berusia 7 tahun. Lepas subuh, tidur. Begitulah ragam anak kecil nakal sepertiku. Menjadi rencah yang mewarnai kanvas dunia kanak-kanakku.

Along, bangun, hari ni kan hari jadi Along?” Suara garau mesra itu membisik lembut di cuping telinga. Aku mencelikkan mata kecilku. Terpisat-pisat keliru.

Hari ini hari apa?” Bisik hati kecilku. Dahiku berkerut.

Abah hanya tersenyum melihat wajah kecil yang keliru itu lantas menambah, “Hari inikan 12 Rabiul Awal, hari jadi along. Dah, bangun, mandi, sarapan, banyakkan berselawat. Lepas ini kita nak ke masjid mendengar ceramah Ust Hamdan. Jadi, lekaslah bersiap.” Ujarnya lembut.

Aku bingkas bangun. Bersiap-siap.

*****

Bibir mengelopakkan senyum pabila ingatan itu pudar ditiup hembusan udara pagi hari ini. Hari istimewa ini. Hati menguntum mekar kebahagiaan. Selawat dan syukur ku bisikkan.

Tiba-tiba cuping telingaku menangkap satu dentuman kecil. Gesit ku berlari ke dapur. Kelihatan Ibu dengan payah mengangkat sebuah bungkusan hitam, yang ku kira berisi sampah.

Tak apalah Ibu, biar Along sahaja yang buang. Lagipun berat itu bu.” Segera ku tawarkan pertolongan buat insan yang jasanya ku sanjung.

Eh, tak payahlah Along. Alongkan belum pulih sepenuhnya. Lagipun, sebelum ini, Ibu dah biasa dah buat kerja-kerja ini semasa Along tiada.” Ucap Ibu tenang. Wajahnya ikhlas. Mencoretkan senyuman termanis sekali buatku.

Hatiku meruntun pilu. Sebak menyesak dadaku. Tanpa sedar, mutiara-mutiara jernih terbentuk di kelopak mataku. Semenjak kepulangan daripada Bait As-Sakinah dua minggu lalu, teratak rumah ini ku rasa lebih bererti. Dadaku sering riuh berkobar untuk menyebarkan haruman kebaikan. Segala permintaan Ibu ingin ku turuti. Setiap hajat Abah mahu ku laksana sepenuh hati.

Aku berusaha memujuk dan akhirnya Ibu akur. Lantas, aku membawa bungkusan berat itu ke luar rumah. Mahu ku buang di sebuah tempat pelupusan di seberang jalan.

*****

Ku amati suasana pagi hari ini amat indah. Hawa lembut bertiup nyaman. Langit cerah dihiasi putih gemawan. Mungkinkah kerana hari ini juga hari istimewa buat umat Islam kerana meraikan kelahiran seorang Rasul ulul anbiya’ yang mengharumi muka bumi dengan wangian bunga akhlaknya yang indah? Entahlah. Ku fikir, ku tak cukup layak berbicara soal itu. Hanya Allah sahaja yang tahu, sejauh mana istimewanya hari ini.

Kelihatan Mak Jah, jiran sebelah rumah ralit menyiram pohonan mawar kesayangannya. Ku ucapkan salam tanda hormat padanya. Dia mencebik, sejurus menghadiahkan sebuah jelingan tajam buatku. Jelingan biasa yang kuterima semenjak kepulanganku. Dan aku tak pernah kisah tentangnya. Kerana padaku, apa yang penting, jiran itu perlu kita rai dan hormati.

Tidak jauh dari rumah, sekelompok kanak-kanak berlari riang di taman. Salah seorangnya berpaling bertentangan mata denganku. Lalu, aku menghadiahkan senyuman manis buatnya.

Eh, itukan abang yang hisap dadah tu? Kenapa dengan dia? Kanak-kanak itu menjerit nyaring.

Aiyokk, dia senyum kat kau lah. Habislah malam ni kau kena pukul dengan dia,” seorang sahabatnya yang sedikit montel itu menambah. Lantas, satu hilaian tawa tercetus. Mencuri tumpuan masyarakat sekeliling.

Sejujurnya hatiku pedih mendengarkannya. Namun, azimat yang ditutur Abi semasa di Bait As-Sakinah dahulu masih terngiang-ngiang di telinga, “La tahzan, innallaha maa sabirin- usah bersedih, sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.”

Ya, aku mahu menjadi orang yang sabar,” Pujukku sendiri. Fikiranku tekad. Hatiku bulat. Biar apa jua mereka fikirkan. Aku nak berubah. Aku mesti kuat! Aku nak jadi seorang Muhammad!

Namun, lamunanku terhenti apabila suatu dentuman kuat meletus di bahagian tepi kiriku.

BAMMM!!

Momentumnya terlalu kuat sehingga aku terasa tubuh kurusku begitu ringan. Terlalu ringan sehingga terbang di awangan, sebelum bumi ini terasa bergegaran.

Ku cuba mencelikkan mata, namun penglihatanku kabur memerah. Ku cuba bangkit, namun tubuhku terasa perit dan lemah. Dalam kepayahan itu ku rasakan cecair hangat mengalir daripada kepalaku.

Aku teringat pada ucapan Abi sebelum mengakhiri pertemuan kami sewaktu di Bait As-Sakinah dahulu, “Kerana baginda, teramat-amat merindui kita selaku umat yang tidak pernah walau sekali bertentang mata, berhadapan muka dengannya. Itulah yang dinamakan cinta. Cinta yang sejati. Yang tak mengenal rupa, namun doanya tak pernah putus buat kita. Rindunya tak pernah lupus untuk kita.

Bibirku menguntum senyum. Rasa rindu mulai menebal di kalbu. Aku pingin sekali menemui insan yang berkongsi nama dan tarikh lahir denganku itu. Sudah lama ku simpan impian ini. Namun, siapalah diri ini. Belum lagi berkesempatan mewangi hidup mereka di sekeliling dengan haruman peribadi terunggul. Seunggul nama Muhammad yang diberi.

Wajah Ibu dan Abah terbayang silih berganti. “Ibu, Abah… Maafkan Along. Hari ini, Along pergi dulu.” Duniaku akhirnya kelam. Sekelam hatiku suatu ketika dahulu.

TAMAT.

Puisi

Gema Perindu

7b517627a7950b1ebcd421cdbdc1d855

Di tepi buaian ini

semilir menyanyi merdu

mengalun tiupan seruling azimat

mendendang gesekan biola keramat

yang sarat melodi cinta

melaung balada asmara

nada pencinta setia

..

Kala sendu

kurenung bait lirik dan diksi

hembusan metaforamu, membelai raut

suara anaforamu, membisik lembut

mengubati jiwaku lara

..

Gemawan dan bayu berentak

siulan irama syahdu

menggetar sukmaku

yang masih menunggu

sang penyair yang dirindu.

..

Sakinah Kamal

Selangor

November, 2014

 

Puisi

Imbuhan akhiran; suffix-ism

original

Mengapa dilupa

pada putih salji

ditangisi langit

namun cair dek relungan haba hedonism

 .

pada dedaun kering

tumbuh dari putik-putik

pohonan rasa

namun gugur dek hembusan semilir liberalism

 .

pada sinar mentari

muncul gemilang

di kaki langit

namun hilang dek gelita malam skeptiksm.

 .

Sakinah Kamal

Missisissauga, Ontario

Puisi

Cemburu pada Bintang

tumblr_static_tumblr_static_filename_640

Barangkali tidak pernah jiwanya

berfikir-fikir

akan cemburu pada bintang

berkerlipan di angkasa

.

Namun hari ini,

jiwanya ketemu

maujudnya bintang-bintang

pantas berlari merentasi

Bima Sakti nan terbentang

.

Dan jiwanya berfikir-pertama kali,

tuahnya menjadi sang bintang

memecut jauh

membakar memori

dan meninggalkan kenangan

tika membelah lelangit malam.

.

Sakinah Kamal

The Credit Woodlands, Unit 203

Mississauga, Ontario

English, Puisi

Lesson in life

38298a48d9f44f176fdccab6d68f0b30--lesson-learned-quotes-life-lessons-learned

I have learned that

sometimes the people you

expect to kick you

when you are down

will be the ones

to help you get up.

.

Therefore, I want to thank you

for giving me the chance

of living, learning, growing and changing

so that I know how to

listen without defending

speak without offending

love without depending

and live without pretending.

 .

Sakinah Kamal

Kluang, Johor

 

 

English, Puisi

The wizardry of love

boy-dream-fantasy-girl-Favim.com-1012164

Sometimes she feels like

you can read every single page in her mind

swim deeply into the ocean inside her soul

and predict her every freaking move

like her own personal psychic

.

yet until now

she wonders why

you don’t seem to get

that your name still engraved on the rocks

stranded on the island of her heart.

 

.

Sakinah Kamal

Kluang, Johor

English, Puisi

Him

He runs, she reads and writes sometimes

He bikes, well yeah she used to… long time ago

He is a sporty guy, she is proud to be the nerdy one

He drinks coffee, she prefers latte and its arts

He loves cakes, she likes pastries and ice-creams

He admires the beauty of mountains, she adores the colours of flowers

He runs those machines, she learns those languages

He is working with numbers, she is dealing with words

He fancies technologies, she appreciates histories

He listens to soothing mood songs, she goes for dancing pop

.

She was sensitive, but he was indifferent

She was caring, but he acted aloof

She was truly honest, but he kept feelings to himself

She was cheerful bubbly, but he always icy-cold

She was soft-hearted, but him was stainless steel

Despite all the differences,

she actually fell in love.

.

So today, he has officially put it to an end

from now on she’d be just a random friend

yet she certainly believes there are good reasons

as they were so tired of their never-ending winter season.

.

Now he left

she can no longer see him within her sight

but she wishes he knew that

she will never feel him in her heart

anymore.

.

Sakinah Kamal

Malaysia

Puisi

Sakura dan Salju

b9a0c1892a9afc1f3ec144ff50c4730b

Dalam kesepian malam

bayu menderu nafasnya

pada kelopak-kelopak merah jambu

menari riang-ria

gemalai di atmosfera

sebagai tanda bermula

ekuinoks musim bebunga

.

dan mengganti putihnya debu-debu

sejuk beku

yang pernah

melitupi lantai hatimu

tiga bulan lalu.

 

.

Sakinah Kamal

Tokyo, Japan